TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM sita aset bernilai lebih RM3.5 bilion dalam tempoh 5 tahun, komited perangi rasuah tanpa kompromi

By
|
Kongsi
image

 

BANGI 12 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menyita pelbagai aset bernilai lebih RM3.5 bilion serta melucut hak harta hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun, hasil usaha berterusan memerangi jenayah rasuah secara komprehensif.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sepanjang tempoh itu juga, 5,703 individu telah ditahan, manakala 5,145 kertas siasatan dibuka berdasarkan 34,819 laporan diterima dari tahun 2020 hingga April 2025.

"Seramai 5,703 individu sudah ditahan untuk siasatan dalam tempoh itu, manakala jumlah sitaan pula mencecah RM3.5 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini, hari ini.

Beliau menambah, daripada jumlah tangkapan itu, 2,479 orang telah didakwa di mahkamah, dan 1,274 daripada mereka disabitkan kesalahan.

Majlis konvokesyen tersebut menyaksikan seramai 250 graduan menerima pentauliahan, terdiri daripada 74 peserta program Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) dan 176 peserta Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5).

Tiga graduan menerima Anugerah Akademik Terbaik, iaitu Tengku Nur Diyana Syamimi Tengku Zolnurin (Level 7), serta Nor Hazira Mohamad Hasri dan Nurarina Yuslynda Usuf (Level 5).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Indera Junipah Wandi, selain wakil dari Nottingham Trent University UK (NTU UK), termasuk Profesor Daragh McDermott dan pensyarah kanan, Phil Rudkin.

Azam menekankan bahawa pencapaian ini bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan pentingnya budaya integriti yang perlu dibina dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

"Peranan graduan dalam bidang penguatkuasaan dan anti-rasuah amat penting. Mereka bukan sahaja perlu bebas daripada rasuah, malah bertanggungjawab menyebar kefahaman serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

"Jadilah wira yang tidak didendangkan. Dalam dunia yang penuh kepalsuan, integriti adalah kekayaan paling bernilai," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa program latihan SPRM kini tidak hanya memberi tumpuan kepada teori semata-mata, malah turut diterapkan nilai moral dan prinsip kukuh.

Kerjasama strategik bersama institusi antarabangsa seperti NTU UK turut membentuk model pendidikan hibrid seimbang yang menekankan penguasaan ilmu serta kecekapan profesional.

"Gabungan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini turut menegaskan kepentingan nilai kemanusiaan sejagat sebagai asas pembentukan pegawai penguat kuasa berintegriti. Dalam menghadapi era teknologi canggih, nilai dan etika tidak boleh diketepikan. Ilmu tanpa integriti hanya akan melahirkan ketidakseimbangan dalam pembangunan insan," katanya.

Tambah beliau, SPRM kini memanfaatkan teknologi terkini seperti pembelajaran mesin, analitik ramalan, dan analisis tingkah laku digital dalam proses siasatan, sejajar dengan perkembangan teknologi.

Azam turut menegaskan bahawa rasuah kekal menjadi ancaman utama kepada negara, bukan sahaja dari aspek kewangan tetapi juga melibatkan kepercayaan rakyat dan kestabilan institusi.

+ - reset