TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis Kelantan lupus dadah lebih RM11 juta dikumpul sejak 1997

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 11 Jun – Polis Kelantan melupuskan barang kes berkaitan dadah bernilai lebih RM11.3 juta yang dikumpul sejak tahun 1997, selepas mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pelupusan dilakukan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.

Menurutnya, dadah jenis syabu merekodkan nilai tertinggi untuk dilupuskan iaitu RM9.6 juta seberat 301.706 kilogram, diikuti ubat batuk berjumlah lebih RM1 juta membabitkan 1,721.45 liter.

“Turut dilupuskan ialah pil kuda seberat 3.935 kilogram bernilai RM295,275 dan pil psikotropik seberat 91.719 kilogram bernilai RM113,980,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Tahun 2025, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, pelupusan akan dilakukan esok oleh sebuah syarikat pelantikan polis di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai 12,298 individu telah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah di negeri ini antara Januari hingga Mei tahun ini, melibatkan rampasan dadah bernilai RM10.3 juta.

“Selain itu, polis turut menyita harta dan aset bernilai lebih RM1.3 juta daripada pengedar dadah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah, dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah tersebut. – Media Telus

+ - reset