TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan umum bantuan tambahan RM5,000 hingga RM10,000 kepada mangsa tragedi bas UPSI

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan tambahan kepada semua mangsa yang terlibat dalam tragedi kemalangan bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, yang mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan 33 yang lain.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia diberikan bantuan tambahan sebanyak RM10,000, manakala mangsa yang cedera akan menerima RM5,000.

"Perdana Menteri sudah maklumkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan bantuan tambahan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 dan yang cedera, RM5,000," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Fahmi, Perdana Menteri turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara meneliti aspek perlindungan insurans terhadap mangsa tragedi berkenaan.

Kemalangan berlaku awal pagi Isnin lalu apabila sebuah bas sewa khas dari Jertih, Terengganu yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Tanjung Malim terbabas dan melanggar sebuah Perodua Alza. Insiden itu meragut 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, termasuk pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan.

Sebelum ini, pelbagai pihak turut mengumumkan bantuan seperti berikut:

  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT):

    • Bantuan awal RM2,000

    • Bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa

  • Kerajaan Negeri Perak:

    • Sumbangan bantuan awal RM1,000 kepada setiap waris

  • Kerajaan Negeri Terengganu:

    • Bantuan one-off RM3,000 kepada keluarga 15 mangsa maut

    • Bantuan kebajikan RM1,000 kepada 33 mangsa yang cedera

Dengan bantuan tambahan diumumkan hari ini, jumlah keseluruhan sumbangan kepada waris mangsa yang maut dianggarkan mencecah lebih RM17,000 setiap keluarga.

+ - reset