Berita Berita
Pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR 11 Jun – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang telah bertindak pantas, penuh dedikasi dan berkorban masa dalam menangani tragedi nahas bas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.
Menurut beliau, kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak itu bukan sekadar satu ujian kepada negara, tetapi turut membuktikan kekuatan, ketabahan dan keikhlasan para wira kesihatan negara.
Jelasnya, pada saat genting itu, anggota kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) berdiri teguh di barisan hadapan tanpa ragu, tanpa rungutan dan tanpa mengira waktu demi menyelamatkan nyawa serta meringankan beban mangsa dan keluarga mereka.
“Kepada pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa.
“Sebuah hospital daerah dengan kapasiti terhad berjaya mengendalikan 29 mangsa cedera, melakukan bedah siasat dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang berduka.
“Pengorbanan seluruh staf daripada berjaga hingga larut malam, sehingga datang seawal pukul 3 pagi walaupun bukan waktu bertugas adalah contoh sebenar semangat #KamiSediaMembantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathar turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Baling dan Hospital Taiping yang menunjukkan kerjasama padu dalam mengendalikan bedah siasat, rawatan kritikal dan pemindahan mangsa.
Ujarnya, mereka membuktikan bahawa sistem kesihatan Malaysia mampu menghadapi situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan serta semangat profesionalisme yang tinggi.
“Staf pejabat kesihatan daerah dan klinik kesihatan juga memainkan peranan penting dengan sumbangan dari segi logistik, bantuan psikososial serta pemantauan pascatrauma.
“Walaupun tugas ini mungkin tidak kelihatan, ia sangat bermakna buat mangsa dan keluarga yang dilanda kesedihan,” katanya.
Tambahnya, seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar, dan tragedi itu membuktikan semangat pengorbanan serta komitmen mereka yang tidak pernah luntur.
Dalam kejadian kemalangan ngeri di JRTB, Gerik kelmarin, seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan terbalik dalam nahas yang berlaku awal pagi.
Kemalangan itu turut menyebabkan 33 penuntut lain cedera, dengan 15 daripada mereka masih menerima rawatan di tiga fasiliti kesihatan iaitu Hospital Taiping (10 orang), Hospital Baling (tiga orang) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (dua orang). - Media Telus.
Berita berkaitan
June 12, 2025, 3:37 pm
Anthony Loke beri amaran kepada pemandu bas tragedi Gerik, laporan teknikal belum dibuktikan
June 12, 2025, 3:18 pm
Anwar umum peruntukan baharu RM60 juta untuk TVET, tegas kepentingan pendidikan holistik
June 12, 2025, 2:39 pm
Tengku Zafrul mahu terus berkhidmat secara politik selepas tamat tempoh senator
June 12, 2025, 2:19 pm
Tiga lelaki melecur dalam kebakaran kedai LPG di Kulai
June 12, 2025, 2:04 pm
Tidak logik kanabis itu datang turun dari langit - Ahmad Fadhli
June 12, 2025, 2:03 pm