Berita Berita
Kadar pengangguran Malaysia turun kepada tiga peratus, terendah dalam 10 tahun

PUTRAJAYA 11 Jun – Kadar pengangguran Malaysia menurun daripada 3.1 peratus pada Mac kepada tiga peratus pada April 2025, iaitu kadar terendah dalam tempoh 10 tahun, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi April 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur berkurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 525,900 orang pada April, berbanding 529,600 orang pada Mac.
“Kedudukan ekonomi negara yang meyakinkan telah menyumbang kepada tenaga buruh yang stabil pada bulan itu, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala kadar pengangguran terus menurun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, bilangan tenaga buruh menunjukkan trend menaik pada April dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 17.34 juta orang berbanding 17.31 juta pada Mac.
“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus berbanding 70.7 peratus pada Mac, menunjukkan penyertaan lebih ramai buruh dalam pasaran,” ujarnya.
Dari sudut sektor ekonomi, Mohd Uzir memaklumkan sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan, khususnya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.
Beliau turut menyatakan bahawa bilangan penduduk bekerja meningkat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian.
Bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran kekal pada 10.3 peratus pada April, melibatkan seramai 298,300 penganggur dalam kumpulan umur tersebut.
Selain itu, bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 7.17 juta orang pada April berbanding 7.16 juta pada bulan sebelumnya. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kerja rumah dan tanggungjawab keluarga (43.7 peratus), diikuti bersekolah dan latihan (41.1 peratus).
Mohd Uzir menambah, tenaga buruh negara dijangka terus optimis dan berkembang pada bulan-bulan mendatang, disokong oleh dasar ekonomi yang kukuh serta kestabilan permintaan domestik.
“Walaupun terdapat ketegangan geopolitik global, tenaga buruh Malaysia dilihat akan terus berdaya tahan berikutan pengangguran yang stabil, perkembangan sektor perkhidmatan dan teknologi, serta peningkatan pelaburan dalam digitalisasi dan automasi,” katanya. - Media Telus.
Berita berkaitan
June 12, 2025, 3:37 pm
Anthony Loke beri amaran kepada pemandu bas tragedi Gerik, laporan teknikal belum dibuktikan
June 12, 2025, 3:18 pm
Anwar umum peruntukan baharu RM60 juta untuk TVET, tegas kepentingan pendidikan holistik
June 12, 2025, 2:39 pm
Tengku Zafrul mahu terus berkhidmat secara politik selepas tamat tempoh senator
June 12, 2025, 2:19 pm
Tiga lelaki melecur dalam kebakaran kedai LPG di Kulai
June 12, 2025, 2:04 pm
Tidak logik kanabis itu datang turun dari langit - Ahmad Fadhli
June 12, 2025, 2:03 pm