TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gabungan ilmu hafazan, teknikal mampu hasilkan huffaz lebih versatil - Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Jun – Gabungan antara ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional dilihat mampu melahirkan generasi huffaz yang lebih versatil serta bersedia menyumbang secara aktif kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan ini membuka satu dimensi baharu dalam memperkasa peranan huffaz pada era moden.

Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran yang berlangsung malam tadi sempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025, menjadi platform penting membincangkan masa depan generasi al-Quran.

“Saya senada dengan pandangan panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ia merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah masa kini.

“Malah, saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa agama tidak pernah memisahkan antara kilang, bengkel dan masjid,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa bangga apabila mendapati majoriti yang hadir dalam forum tersebut terdiri daripada golongan anak muda, yang jelas menunjukkan minat terhadap pendidikan seimbang semakin meningkat dalam kalangan generasi baharu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pihaknya komited untuk terus memperkasakan inisiatif melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap dalam mengurus realiti kehidupan dan cabaran semasa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka dan berakhir hari ini. – Media Telus.

+ - reset