TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perbezaan paparan portal jadi punca Fahmi Reza dihalang ke Singapura – JIM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menjelaskan bahawa kekeliruan berhubung larangan perjalanan aktivis kontroversi Fahmi Reza berpunca daripada perbezaan paparan maklumat antara versi Bahasa Melayu dan Inggeris dalam portal rasmi semakan status perjalanan jabatan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya tidak mengenakan sebarang halangan kepada Fahmi untuk ke luar negara, namun sekatan memasuki Sabah masih berkuat kuasa atas arahan kerajaan negeri.

“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian. Oleh itu, versi tersebut telah ditutup sementara waktu bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semakan teknikal sedang dijalankan bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat dalam semua versi bahasa laman web bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna.

Terdahulu, Fahmi Reza mendakwa dihalang berlepas ke Singapura dari KLIA apabila dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa namanya tersenarai dalam senarai hitam perjalanan, dipercayai berkait dengan larangan memasuki Sabah.

Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan bahawa tiada sekatan rasmi perjalanan keluar negara dikenakan terhadap beliau.

Kes ini mencetuskan perhatian umum, khususnya mengenai kejelasan maklumat rasmi dan keberkesanan sistem semakan dalam talian JIM yang digunakan ramai rakyat Malaysia. - Media Telus

+ - reset