TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu bas UPSI didakwa sebabkan kematian 15 pelajar mengaku tak bersalah

By
|
Kongsi
image

GERIK 13 Jun – Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu nahas baru-baru ini.

Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kilometer 53, Lebuhraya Timur-Barat kira-kira jam 1.15 pagi pada 9 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 dan penggantungan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Dalam kejadian pada 9 Jun lalu, sebuah bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di lokasi kejadian.

Seramai 13 pelajar maut di tempat kejadian manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. – Media Telus.

+ - reset