TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

YouTuber didakwa muat naik hantaran jelik berkaitan siasatan terhadap GISBH

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Jun – Seorang pencipta kandungan YouTube didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik berkaitan siasatan pihak berkuasa terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), tahun lalu.

Tertuduh, Norizan Yahaya, 62, yang dinamakan sebagai orang kena saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, Norizan didakwa secara sedar telah memuat naik hantaran komunikasi bersifat jelik menggunakan akaun YouTube miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain antara pukul 2 hingga 6 petang pada 15 September 2024.

Hantaran tersebut kemudian telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kira-kira pukul 8 malam pada 16 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Namun, peguam bela Asiah Abdul Jalil yang mewakili OKS memohon agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menjual makanan kesihatan secara dalam talian dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“OKS juga mempunyai lima orang anak, termasuk dua yang masih belajar di universiti. Sepanjang siasatan dijalankan sejak 17 September 2024, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” ujar peguam tersebut.

Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Media Telus.

+ - reset