Berita Berita
Solat Duha selamatkan 55 pelajar dari kebakaran di asrama lelaki

BALING 15 Jun - Bangunan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Diniah Islamiah di Memali musnah dalam satu kebakaran pagi tadi, namun tiada pelajar cedera dalam kejadian berkenaan.
Menurut warden asrama, Mohamad Amirul Amin Yusof, 30, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi, ketika semua 55 pelajar lelaki berusia antara lapan hingga 12 tahun baru sahaja masuk ke surau untuk menunaikan solat Duha.
"Kami terdengar jeritan tukang masak di kantin memberitahu asrama lelaki terbakar. Ketika itu semua 55 pelajar lelaki baru kira-kira 15 minit masuk ke surau untuk solat Duha sekitar jam 7.30 pagi," katanya.
Susulan jeritan itu, guru-guru serta pelajar segera keluar dari surau dan melihat api sedang marak menjulang bangunan asrama dua tingkat separa kekal tersebut.
"Mujurlah mereka sempat keluar awal ke surau, kalau tidak tak tahulah apa yang berlaku," katanya.
Mohamad Amirul turut berkongsi pengalamannya melihat sendiri beberapa naskhah al-Quran dalam bilik asrama yang tidak terjejas meskipun keseluruhan bangunan musnah dijilat api.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan ada sebahagian al-Quran dalam bilik asrama itu langsung tidak terbakar, ada yang terbakar sedikit, tetapi tidak rosak walaupun bangunan itu musnah terbakar."
"Hanya sedikit ruang tidak terbakar kerana bomba cepat sampai dan padam kebakaran, namun barangan milik pelajar lelaki di bangunan asrama itu musnah sepenuhnya," katanya.
Beliau menjelaskan, bangunan asrama itu dibina sekitar tahun 2000 dengan struktur kayu di bahagian atas dan simen di tingkat bawah. Asrama perempuan yang menempatkan 43 pelajar terletak bersebelahan kantin dan tidak terjejas dalam insiden tersebut.
"Asrama perempuan yang menempatkan 43 penghuni terletak berselang dengan kantin dan tidak terjejas. Hanya bangunan asrama lelaki ini saja yang musnah dan keseluruhan pelajar lelaki yang tinggal di sini 55 orang."
"Kesemua pelajar lelaki terbabit ditempatkan di surau buat sementara kerana mereka tinggal sehelai sepinggang dan masih trauma, namun beliau bersyukur semua terselamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.54 pagi dan segera menggerakkan 12 anggota ke lokasi kejadian.
"Operasi turut dibantu lima anggota BBP Pengkalan Hulu dan lima anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lalang. Jentera tangki digunakan kerana pili bomba berdepan masalah tekanan air sangat rendah."
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bawah bangunan dan merebak dengan cepat ke tingkat atas yang diperbuat daripada kayu.
"Api marak dengan cepat disebabkan struktur bangunan itu adalah simen di bahagian bawah dan kayu di bahagian atas. Tiada penghuni dilaporkan berada dalam bangunan asrama itu ketika kebakaran." katanya.
Tambah beliau, bangunan berkenaan dianggarkan terbakar sehingga 90 peratus sebelum berjaya dikawal, dan punca kejadian masih dalam siasatan.
"Bangunan dianggarkan terbakar 90 peratus sebelum api berjaya dikawal daripada merebak ke kantin dan bangunan lain. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Berita berkaitan
June 15, 2025, 6:48 pm
NTW 2025 cipta rekod, lebih 2 juta rakyat sertai latihan kemahiran
June 15, 2025, 5:55 pm
Myvi hilang kawalan rempuh pengunjung sedang beli strawberi di Kea Farm
June 15, 2025, 5:24 pm
Ekonomi belum pulih sepenuhnya, kerajaan belum sedia laksana semula GST – Anwar
June 15, 2025, 2:06 pm
Bayi 10 bulan maut terjatuh dari tangan pengasuh ketika dimandikan di Sungai Buloh
June 15, 2025, 1:32 pm
Anwar tinjau sendiri perkembangan pembinaan kapal LCS di Lumut
June 15, 2025, 11:45 am
'Saya tak minat penjarakan orang, saya minat rampas wang untuk kembalikan kepada rakyat' - Anwar
June 14, 2025, 6:31 pm