TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Razarudin akur permintaan ibu, tidak sambung kontrak Ketua Polis Negara dijadual tamat minggu depan

By
|
Kongsi
image

KUALA PILAH, 15 Jun – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tidak akan menyambung tempoh kontraknya yang dijadual tamat pada 22 Jun ini, demi menghormati permintaan ibunya.

Keputusan itu diumumkan sendiri oleh Razarudin ketika menghadiri Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang, semalam.

“Ibu saya memang kalau boleh, minta saya jangan sambung (kontrak). Saya pun akur dengan ibu saya. Saya dah hidup lama dengan dia. Bila dia sebut begitu, saya anggap itu sebagai satu doa. Saya tak berani ingkar cakap ibu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof; Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

Majlis berkenaan turut menjadi lebih bermakna apabila ibu beliau, Rahmah Abdul Rahman, 88, bersama ahli keluarga lain turut hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Razarudin turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak perlulah saya sambung kontrak lagi, cukup dua tahun saya sebagai Ketua Polis Negara, sudah sampai masa ada pengganti,” tambah beliau.

Menurutnya, majlis serah terima tugas sebagai Ketua Polis Negara dijadual berlangsung pada 20 Jun ini.

Program di Kuala Pilah itu juga menjadi program terakhir beliau dalam kapasiti sebagai Ketua Polis Negara.

Untuk rekod, Tan Sri Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

+ - reset