Berita Berita
Ekonomi belum pulih sepenuhnya, kerajaan belum sedia laksana semula GST – Anwar

LUMUT, 15 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan belum bersedia untuk mengembalikan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika ini kerana ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.
Menurut beliau, walaupun GST diiktiraf sebagai sistem percukaian yang lebih menyeluruh dan teratur, pelaksanaannya dalam keadaan semasa hanya akan membebankan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan miskin dan penganggur.
"Kalau esok ekonomi kita dah meningkat, gaji minimum semua RM4,000 ke atas, ha cukailah GST pun. Sekarang ini belum.
"Saya nak tanya, kalau 6 peratus semua kena bayar, mengapa orang miskin kena bayar? Mengapa orang menganggur pergi makan pun kena bayar?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Madani Rakyat 2025 peringkat negeri Perak di Lumut Waterfront, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Anwar turut menyelar segelintir ahli Parlimen pembangkang yang menjadikan isu GST sebagai modal politik tanpa memahami impaknya terhadap rakyat.
"Kadang ahli Parlimen pembangkang ni kena bagi kursus sikit... dia nak sedap saja kata GST bagus. Kamu fahamkah apa GST? Perkhidmatan cukai menyeluruh, you tax everybody," katanya.
Menurut beliau, kerajaan kini memilih untuk mengekalkan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia lebih bersasar dan tidak membebankan rakyat secara umum.
Sebagai contoh, beliau menyatakan bahawa SST hanya dikenakan kepada barangan mewah atau import yang biasanya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
"Kita cukai avokado. Cod fish... mahal. Bukan macam ikan keli dengan ikan serubuk. Jadi kita cukai barang mahal itu. Orang kaya nak makan, silakan, tetapi bayarlah lebih," katanya.
Tambah beliau, hasil kutipan cukai amat penting bagi membiayai kemudahan asas dan pembangunan negara termasuk hospital, jalan raya, kapal serta pesawat pertahanan.
"Kalau tak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat hospital di Manjung? Nak baiki jalan berlubang? Nak bina kapal, beli pesawat pertahanan negara? Semua itu guna duit cukai," ujar Anwar.
Program Madani Rakyat 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Jun merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Perak serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri. Perak menjadi lokasi ketiga penganjuran program itu selepas Tawau dan Johor dengan kehadiran hampir 150,000 pengunjung.
Berita berkaitan
June 15, 2025, 6:48 pm
NTW 2025 cipta rekod, lebih 2 juta rakyat sertai latihan kemahiran
June 15, 2025, 5:55 pm
Myvi hilang kawalan rempuh pengunjung sedang beli strawberi di Kea Farm
June 15, 2025, 2:06 pm
Bayi 10 bulan maut terjatuh dari tangan pengasuh ketika dimandikan di Sungai Buloh
June 15, 2025, 1:32 pm
Anwar tinjau sendiri perkembangan pembinaan kapal LCS di Lumut
June 15, 2025, 12:33 pm
Solat Duha selamatkan 55 pelajar dari kebakaran di asrama lelaki
June 15, 2025, 11:45 am
'Saya tak minat penjarakan orang, saya minat rampas wang untuk kembalikan kepada rakyat' - Anwar
June 14, 2025, 6:31 pm