TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terkejut diserbu ketika sakan bergelek, warga asing ditahan tanpa dokumen sah di 6 pusat hiburan di KL

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Keasyikan pengunjung lelaki warga asing menyaksikan tarian tiang ala Bollywood di sebuah kompleks hiburan di ibu negara terbantut apabila enam premis diserbu polis dalam Op Noda yang dilancarkan awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 2 pagi itu mendapati kesemua premis hiburan tersebut beroperasi dari tingkat satu hingga enam kompleks berkenaan, dengan aktiviti hiburan berjalan dari jam 9 malam hingga 5 pagi.

Majoriti penari yang terbabit terdiri daripada wanita warga asing berasal dari Bangladesh, Nepal dan India, yang dipercayai menerima bayaran antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa, berkata operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hasil risikan terhadap pusat-pusat hiburan yang menggaji pekerja warga asing serta membenarkan kemasukan pengunjung tanpa dokumen sah.

“Hasil serbuan, lapan individu berusia 24 hingga 43 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tiga lelaki warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan telah tinggal lebih lapan tahun di Malaysia.

“Seorang wanita warga Indonesia pula mengaku tinggal di negara ini selama empat bulan, dipercayai datang bersama teman lelakinya, seorang warga India, untuk berhibur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa dua daripada premis yang diserbu menggajikan warga asing sebagai penari dan pelayan tanpa permit kerja sah, selain dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Pemeriksaan lanjut melibatkan lebih 80 individu, kebanyakannya lelaki warga India, Pakistan, Bangladesh dan Nepal. Turut ditemui beberapa wanita warga asing dipercayai bertugas sebagai penari kelab hiburan.

“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” tambah Rusdi.

+ - reset