TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang basikal maut digilis treler selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di Kulai

By
|
Kongsi
image

KULAI, 14 Jun – Seorang lelaki warga Singapura berusia 42 tahun maut dalam insiden menyayat hati apabila digilis sebuah treler selepas terjatuh akibat terlanggar lubang di Jalan Gunung Pulai, di sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.45 pagi ketika mangsa sedang berbasikal bersama tiga rakannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa terlanggar lubang di atas jalan dan terjatuh. Pada masa sama, sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun sedang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar muatan batu dan tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Mayatnya dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai bagi tujuan bedah siasat.

Pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Sementara itu, sebuah video memaparkan detik kemalangan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya berkaitan isu keselamatan penunggang basikal di jalan raya, terutama di kawasan rekreasi seperti Gunung Pulai.

+ - reset