TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Myvi hilang kawalan rempuh pengunjung sedang beli strawberi di Kea Farm

By
|
Kongsi
image

CAMERON HIGHLANDS, 15 Jun – Suasana di pusat tumpuan pelancong, Kea Farm, gempar seketika apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi hilang kawalan dan merempuh sekumpulan pengunjung tengah hari semalam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 33 saat yang tular di laman sosial Facebook menerusi Group Informasi Cameron Highlands menunjukkan detik cemas apabila kenderaan tersebut meluru laju merempuh kawasan yang sesak dengan pengunjung.

Dalam insiden kira-kira pukul 12 tengah hari itu, beberapa individu yang sedang membeli-belah di tepi jalan dilanggar, termasuk mangsa yang kelihatan terperosok di bawah kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa empat mangsa cedera iaitu seorang lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak masing-masing berusia 10, 8 dan 3 tahun.

“Kesemua mangsa yang merupakan pelancong telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang. Tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika dihubungi media.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, terutamanya netizen yang menyuarakan kegusaran mengenai kesesakan luar biasa dan tahap keselamatan di Kea Farm – lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.

Ramai pihak menggesa agar pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan tegas, termasuk pengurusan trafik dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan yang sering padat dengan pelancong.

“Pemandu nampak macam kena sawan, orang tarik keluar dari dalam kereta dia keras kejung,” tulis seorang pengguna Facebook, Nurul Ika, dalam ruangan komen video berkenaan.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. - Media Telus

+ - reset