Berita Berita
Anwar tinjau sendiri perkembangan pembinaan kapal LCS di Lumut

LUMUT 15 Jun - Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus diberi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melakukan lawatan ke Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), di Pangkalan TLDM Lumut, bagi meninjau perkembangan semasa pembinaan lima kapal berkenaan.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar. Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kapal kedua LCS (LCS 2) telah berjaya diturunkan ke permukaan air pada 8 Mei lalu dan kini kerja-kerja pembinaan seterusnya sedang berjalan. Fasa Setting to Work (STW) untuk kapal itu dijadualkan bermula September ini.
Sebelum itu, LCS pertama berjaya dilancarkan mengikut jadual kontrak pada 23 Mei 2024, memulakan fasa STW pada Mei 2025 dan dijangka menjalani pelayaran pertama (First Sea Sailing) Disember depan.
Sehingga 25 Mei lalu, kemajuan keseluruhan projek pembinaan lima kapal LCS mencapai 72.43 peratus, masih dalam pemantauan ketat Kementerian Pertahanan bersama pemegang taruh.
“Kemajuan kerja pembinaan bagi LCS 3 hingga LCS 5 masih mengikut perancangan, dengan kapal-kapal itu dijangka diserahkan mengikut jadual, iaitu LCS 3 pada 2027, manakala kapal seterusnya selang lapan bulan kemudian sehingga LCS 5 siap sepenuhnya pada 2029.”
Kementerian juga menjelaskan bahawa pemantauan bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara akan diteruskan.
“Ia bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh LUNAS, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek.”
Untuk rekod, pada Mac lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa projek bernilai RM11 bilion itu mengalami kelewatan 1.68 peratus apabila hanya mencatat kemajuan 71.62 peratus berbanding perancangan asal 73 peratus. Kelewatan itu disebabkan masalah pembekalan peralatan oleh pengeluar asal (original equipment manufacturer, OEM).
Berita berkaitan
June 15, 2025, 6:48 pm
NTW 2025 cipta rekod, lebih 2 juta rakyat sertai latihan kemahiran
June 15, 2025, 5:55 pm
Myvi hilang kawalan rempuh pengunjung sedang beli strawberi di Kea Farm
June 15, 2025, 5:24 pm
Ekonomi belum pulih sepenuhnya, kerajaan belum sedia laksana semula GST – Anwar
June 15, 2025, 2:06 pm
Bayi 10 bulan maut terjatuh dari tangan pengasuh ketika dimandikan di Sungai Buloh
June 15, 2025, 12:33 pm
Solat Duha selamatkan 55 pelajar dari kebakaran di asrama lelaki
June 15, 2025, 11:45 am
'Saya tak minat penjarakan orang, saya minat rampas wang untuk kembalikan kepada rakyat' - Anwar
June 14, 2025, 6:31 pm