TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RM504 juta nilai rampasan, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 seluruh negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Jun - Operasi bersepadu mega yang digerakkan secara serentak di sembilan negeri pada 16 Jun lalu mencatat kejayaan besar apabila 453 individu ditahan, termasuk 392 pendatang asing tanpa izin (PATI), serta rampasan barangan bernilai lebih RM504 juta.

Serbuan besar-besaran yang dikenali sebagai Op Hazard 2.0 itu melibatkan 57 premis di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Terengganu, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Kekuatan pula seramai 1,582 pegawai dan anggota dari 13 agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim menyifatkan operasi ini sebagai antara yang terbesar pernah dilaksanakan setakat ini.

“Kita telah serbu premis di seluruh negara merangkumi Kedah (6), Pulau Pinang (4), Perak (5), Selangor (16), Kelantan (2), Johor (5), Terengganu (1), Sarawak (6) dan Kuala Lumpur (12).

“Sebanyak 453 individu ditahan daripada 916 pemeriksaan, membabitkan 382 lelaki, 70 wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Daripada jumlah tangkapan itu, 392 adalah PATI, manakala 41 warga tempatan dan 20 lagi warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Antara yang ditumpukan dalam serbuan termasuk premis yang menjalankan aktiviti kitar semula bahan logam dan operasi perindustrian yang mencurigakan.

Lebih mengejutkan, Azmi berkata, rampasan dalam operasi itu merangkumi barangan mentah dan terproses, bahan lusuh serta komponen logam yang dianggarkan bernilai RM504 juta – dan jumlah itu dijangka meningkat selepas penilaian penuh dibuat.

“Kita juga mendapat maklumat daripada LHDN yang mengesahkan bahawa cukai tidak dibayar oleh beberapa syarikat terlibat dalam operasi ini boleh mencecah sehingga RM500 juta. Ini menunjukkan wujudnya unsur ketirisan hasil kerajaan yang amat besar,” ujarnya.

Menurutnya, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menegakkan undang-undang dan membanteras pelbagai sindiket yang mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

Untuk rekod, sejak Januari 2024, sebanyak 167 serbuan telah dilakukan oleh PDRM di seluruh negara, menghasilkan 1,061 tangkapan dengan jumlah keseluruhan rampasan melebihi RM5 bilion.

Operasi ini turut memperkukuh agenda reformasi pentadbiran kerajaan dalam memelihara keselamatan, ketenteraman awam dan integriti ekonomi negara.

+ - reset