TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai awam dilarang keluar kenyataan umum jejas dasar kerajaan - JPA

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Jun – Semua pegawai awam diingatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam yang boleh menjejaskan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan, sama ada secara lisan atau bertulis, tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tertinggi.

Peringatan itu dinyatakan dalam surat edaran bertarikh 19 Jun 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menerusi arahan bertajuk "Larangan Membuat Pernyataan Awam Di Bawah Subperaturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]".

Menurut edaran itu, pegawai awam tidak dibenarkan mengulas secara terbuka mengenai sebarang kelemahan dasar atau keputusan kerajaan, mahupun mengedarkan sebarang kenyataan yang berpotensi memburukkan nama kerajaan.

Selain itu, subperaturan 19(2) turut memperincikan larangan pegawai daripada memuji dasar atau rancangan kerajaan secara terbuka, mahupun mendedahkan fakta berkaitan pelaksanaan dasar kerajaan tanpa kebenaran.

"Mereka juga tidak boleh memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi kerajaan dan memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang membabitkan kerajaan.

"Pegawai awam juga tidak boleh menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, diperoleh terlebih dahulu daripada menteri," menurut kenyataan itu.

Ketua jabatan masing-masing turut diarahkan memastikan pegawai di bawah seliaan mereka mematuhi garis panduan berkenaan, termasuk mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih, berunsur hasutan, fitnah, provokasi atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan integriti perkhidmatan awam.

JPA turut menegaskan bahawa pelanggaran terhadap peraturan ini boleh membawa kepada tindakan tatatertib termasuk kemungkinan dibuang kerja di bawah peruntukan sedia ada dalam P.U. (A) 395/1993.

Surat edaran itu telah diedarkan kepada semua kementerian, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkanun, dan turut dimuat naik ke laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam. - Media Telus

+ - reset