TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jelajah Pembelajaran NTW 2025 perkasa kemahiran ratusan rakyat di wilayah utara

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

BAYAN LEPAS, 19 Jun – Usaha memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat diteruskan melalui penganjuran Jelajah Pembelajaran National Training Week (NTW) 2025 di Wilayah Utara yang berlangsung di Raia Inn, Pulau Pinang hari ini.

Program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Penang Infrastructure Corporation (PIC) itu dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan disertai lebih 600 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, penjawat awam, golongan B40, OKU dan warga emas.

Menampilkan hampir 800 kursus di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, jelajah ini menyediakan latihan percuma dalam bidang-bidang strategik seperti Pengekodan Robotik, Asas Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber, Kesihatan Mental, serta kemahiran kreatif seperti pembuatan tembikar dan solekan.

“Objektif program ini adalah memastikan keluarga nelayan tidak terpinggir daripada peluang kemajuan ekonomi hasil pembangunan projek Silicon Island. Melalui latihan ini, kita berhasrat membantu komuniti memperoleh pekerjaan berimpak tinggi, meningkatkan pendapatan dan memperkukuh taraf sosio-ekonomi mereka,” kata Steven Sim ketika mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Latihan Impak Berfokus (FITI) untuk lebih 400 peserta daripada komuniti nelayan Pulau Pinang Selatan.

Beliau turut mengumumkan pelancaran Program Dana Padanan Pembangunan Kemahiran melalui kerjasama HRD Corp dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) di bawah Advanced Technology Meister Programme (ATMP), yang membolehkan industri tempatan melatih pekerja dalam bidang teknologi termaju.

NTW 2025 merupakan antara inisiatif utama negara di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, dan setakat ini telah merekodkan lebih 3.2 juta penyertaan berbanding sasaran awal satu juta, dengan 71,000 kursus ditawarkan di seluruh negara.

Majlis penutup NTW 2025 akan berlangsung di Ipoh, Perak pada 21 Jun ini namun kursus-kursus kekal tersedia secara digital sepanjang tahun menerusi portal www.nationaltrainingweek.gov.my. - Media Telus

+ - reset