TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agong berangkat sempurnakan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun - Acara kemuncak Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M dijadualkan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Majlis itu dijangka menerima kehadiran lebih 8,000 tetamu tempatan serta antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, dijadualkan berangkat tiba pada jam 9.30 pagi bagi menyempurnakan sambutan itu.

Majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri.

Perwakilan asing di Malaysia, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, pegawai kanan kontinjen yang mengambil bahagian serta orang awam juga dijangka hadir.

Tumpuan akan terarah kepada Titah Diraja oleh Sultan Ibrahim, selain baginda dijadual menyempurnakan pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

Antara pengisian lain ialah tausiyyah (ceramah) khas hijrah yang akan disampaikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M akan disiarkan secara langsung menerusi Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan stesen televisyen tempatan, selain boleh ditonton secara penstriman langsung menerusi media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tema sambutan kali ini, iaitu 'Membangun Ummah MADANI', menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat lebih bertamadun, inklusif dan seimbang dari segi kerohanian serta fizikal.

JAKIM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tema sambutan itu menepati elemen keterangkuman dalam membina masyarakat bertamadun bukan saja dari aspek fizikal, malah melahirkan modal insan yang cemerlang dari aspek kerohaniannya.

"Sambutan kali ini akan mengetengahkan semangat hijrah, khususnya usaha serta pengorbanan yang dirukuni oleh Rasulullah SAW dalam membangunkan ummah yang berteraskan nilai-nilai murni, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, kehormatan, keyakinan dan ihsan, khususnya dalam meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian," katanya.

Semalam, umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu 1447H dengan penuh penghayatan dan keinsafan melalui Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diadakan di masjid serta surau di seluruh negara.

+ - reset