TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MOF perjelas SST 8% hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus dalam sektor kewangan hanya melibatkan perkhidmatan tertentu seperti yang berasaskan yuran.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, cukai tersebut tidak dikenakan ke atas perkhidmatan asas perbankan yang digunakan rakyat seperti akaun simpanan atau pinjaman perumahan.

Menurutnya, kekeliruan timbul susulan laporan media yang menggambarkan seolah-olah semua perkhidmatan kewangan dikenakan SST, sedangkan kenyataan sebenar daripada persatuan bank hanya merujuk kepada perkhidmatan tertentu sahaja.

“Saya rasa hal ini telah menimbulkan sedikit kekeliruan. Jika dibaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan bank, mereka hanya menyebut bahawa terdapat SST ke atas perkhidmatan kewangan tertentu.

“Namun, laporan (berita) yang dikeluarkan seolah-olah menggambarkan bahawa semua perkhidmatan kewangan dikenakan SST,” katanya dalam sesi siaran langsung di platform media sosial TikTok.

Johan menjelaskan bahawa perkhidmatan asas seperti akaun simpanan, pinjaman perumahan dan faedahnya dikecualikan daripada cukai berkenaan.

“Dalam perincian media telah pun disebut bahawa perkhidmatan perbankan asas memang dikecualikan. Perkhidmatan yang secara langsung membabitkan rakyat, seperti akaun simpanan dan pinjaman perumahan, tidak dikenakan sebarang cukai perkhidmatan,” jelasnya.

Tambahnya, SST hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan yuran seperti perkhidmatan nasihat pelaburan yang ditawarkan bank pelaburan.

“Contohnya, apabila membabitkan bank pelaburan yang memberikan khidmat nasihat kepada syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Perkhidmatan seperti ini, khidmat nasihat, konsultansi dan yuran-yuran berkaitan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan pengurusan dana juga termasuk dalam kategori yang dikenakan SST memandangkan ia lazimnya digunakan oleh institusi atau individu berpendapatan tinggi.

“Oleh itu, dari segi perkhidmatan kewangan harian yang biasa digunakan rakyat, termasuk insurans dan takaful kesihatan, ia tidak dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya. - Media Telus.

+ - reset