TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelan insurans kesihatan asas perlu rangkum keperluan rakyat – Lee Lam Thye

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun– Pelaksanaan pelan insurans kesihatan asas yang sedang dirangka kerajaan perlu mengambil kira faktor ketelusan, pelaksanaan cekap serta pendekatan inklusif bagi memastikan matlamat mengurangkan beban kos rawatan rakyat tercapai.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejayaan pelan itu bergantung kepada kemampuan rakyat untuk menyertainya, khususnya golongan B40.

“Kos rawatan semakin meningkat saban tahun dan menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan untuk penyakit kronik, kecemasan dan saringan kesihatan. Oleh itu, caruman mestilah berpatutan dan pelaksanaannya mudah difahami, tanpa kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan perlindungan yang ditawarkan harus menyeluruh termasuk rawatan pesakit luar, kecemasan serta pengurusan penyakit kronik.

Mengulas lanjut, beliau berkata subsidi khas wajar diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), penganggur dan kumpulan B40.

“Pelan ini mesti disertai sistem pemantauan dan kawal selia yang rapi bagi menjamin integriti dan kualiti perkhidmatan. Pada masa sama, pendidikan kesihatan awam perlu ditingkatkan untuk memperkukuh kefahaman rakyat terhadap manfaat pelan ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan cadangan memperkenalkan pelan insurans asas sedang diperhalusi bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.

Lam Thye menyifatkan inisiatif itu sebagai pelaburan jangka panjang negara ke arah sistem kesihatan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan. - Media Telus

+ - reset