TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kenapa tiba-tiba nak rombak RMK13 saat akhir, semasa saya bentang tak timbul pun?' - Rafizi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Jun – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempertikai keputusan kerajaan untuk merombak semula draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 31 Julai depan.

Rafizi dalam satu kenyataan hari ini meluahkan kekesalan terhadap keputusan tersebut yang disifatkannya sebagai dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melalui proses rujukan semula kepada agensi dan pakar berkaitan.

“Kenapa isu ‘merombak semula draf RMK13’ ini timbul di saat akhir sedangkan tiada isu ‘rombakan semula’ yang dibangkitkan sepanjang saya dan Kementerian Ekonomi membentangkan intipati RMK13 sebelum ini?” soalnya.

Kenyataan beliau hadir selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menjalankan tugas dan fungsi portfolio ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Shamsul Azri, antara tanggungjawab utama Amir Hamzah adalah untuk “mengolah dan merombak semula intipati naskah RMK13” yang telah dikemukakan sebelum ini, dengan mengambil kira maklumat tambahan daripada kementerian serta pandangan Jemaah Menteri.

Rafizi yang meletakkan jawatan pada 17 Jun lalu selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, menegaskan bahawa penyediaan RMK13 telah melalui proses teliti sejak September 2024 dan merupakan dokumen penting yang menjadi rujukan dasar lima tahun negara.

“Kerajaan boleh bertukar, tetapi setiap kerajaan tetap terikat dengan gagasan Rancangan Malaysia melainkan ia kembali ke Parlimen untuk membuat pindaan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan draf RMK13 dilakukan dari peringkat akar umbi dengan penyertaan semua pemegang taruh, disertai pendekatan 'top down' melalui dasar-dasar berani dan radikal yang dibangunkan bersama pakar serta dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Khas antara Februari hingga April lalu.

Rafizi juga mendakwa bahawa RMK13 ini bakal mencatat sejarah sebagai dokumen paling cepat disiapkan, iaitu dalam tempoh kurang setahun dari permulaan hingga pembentangan – berbanding tempoh kebiasaan antara setahun setengah hingga dua tahun.

Tambah beliau, keseluruhan draf RMK13 dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa melibatkan perunding luar, atas keyakinan terhadap keupayaan dan kefahaman mendalam pegawai kerajaan.

“Kenyataan mengenai rombakan semula ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam dan penganalisis pasaran,” tegasnya.

+ - reset