TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lima pelajar MRSM direman tiga hari bantu siasatan kes buli

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 27 JUN - Lima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) direman selama tiga hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah MRSM di Besut.

Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Ruhainis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pada Jumaat.

Kesemua suspek yang terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Tiga dan seorang pelajar Tingkatan Lima direman sehingga Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sebelum ini, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua kira-kira jam 6.48 petang pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 14 tahun mendakwa telah diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.

“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian perut serta ditampar oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga ketika berada di asrama putera maktab berkenaan sekitar jam 11.30 malam pada Selasa lalu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disedari oleh warden bertugas sebelum membawa semua yang terlibat ke pejabat warden.

“Penjaga mangsa kemudian dihubungi dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kesemua suspek disyaki terlibat telah ditahan pada Khamis untuk siasatan lanjut,” katanya. - Media Telus.

+ - reset