Berita Berita
'Hentikanlah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah' - Sultan Selangor

KUALA LUMPUR 27 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap penularan budaya negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya sikap mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca antara satu sama lain yang kini seolah-olah menjadi kelaziman.
Menerusi perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah yang dimuat naik di Facebook rasmi Selangor Royal Office, baginda mengingatkan umat Islam bahawa akhlak seperti itu bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW yang sentiasa menekankan penjagaan lisan.
“Hentikanlah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah. Marilah kita menyemai budaya saling menasihati dengan lembut dan berhemah, agar hati tidak terluka dan ukhuwah tetap terpelihara,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa lidah yang tajam boleh lebih menyakitkan daripada mata pedang dan menyeru rakyat agar tidak berlagak ‘hero’ atau berasa diri terlalu hebat hingga menafikan hak dan jasa orang lain.
“Beta juga ingin menyeru, janganlah kita berlagak menjadi ‘hero’ atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain,” titahnya lagi.
Sultan Sharafuddin turut mengaitkan sikap angkuh dengan kelemahan jiwa yang belum tunduk kepada Allah SWT, dan menasihati agar umat Islam sentiasa merendah diri.
“Kesombongan bukan tanda kekuatan, tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda turut menitipkan pesanan mengenai cara menegur sesama insan dengan penuh hikmah agar tidak menjadi penghinaan atau cercaan.
“Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang, kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki. Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin menutup perutusannya dengan menyeru agar rakyat tidak terus berpecah belah akibat perbezaan pendapat atau kecenderungan tertentu.
“Usahlah kita berbalah hanya kerana perbezaan pandangan atau kecenderungan. Islam mengajar kita bahawa kekuatan umat itu lahir daripada kesatuan, bukan perpecahan. Jangan kita biarkan api kebencian dan dendam memusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini,” titah baginda. - Media Telus
Berita berkaitan
June 27, 2025, 4:49 pm
Kerajaan Johor beri jaminan bekalan minyak masak peket bersubsidi mencukupi
June 27, 2025, 1:23 pm
Diugut individu menyamar polis, penganggur sanggup gadai barang kemas ibu
June 27, 2025, 1:16 pm
MOF perjelas SST 8% hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu
June 27, 2025, 1:11 pm
Lima pelajar MRSM direman tiga hari bantu siasatan kes buli
June 27, 2025, 1:07 pm
'Kenapa tiba-tiba nak rombak RMK13 saat akhir, semasa saya bentang tak timbul pun?' - Rafizi
June 27, 2025, 1:03 pm
Pelan insurans kesihatan asas perlu rangkum keperluan rakyat – Lee Lam Thye
June 27, 2025, 12:57 pm
Penubuhan APDCAM langkah penting perkasa etika kutipan pinjaman
June 27, 2025, 12:45 pm
Wanita maut tercampak keluar, budak parah MPV terbabas langgar pembahagi jalan
June 27, 2025, 11:32 am