TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan Johor beri jaminan bekalan minyak masak peket bersubsidi mencukupi

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 27 Jun - Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini sentiasa mencukupi hasil kerjasama erat dengan rangkaian pasar raya utama.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan isu kekurangan bekalan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Berdasarkan hasil semakan, didapati terdapat pasar raya besar mengalami kekurangan bekalan minyak masak peket hampir seminggu setiap bulan kerana hanya membuat pesanan baharu setelah stok sedia ada habis.

“Syarikat terbabit memaklumkan kekurangan berlaku kerana mereka menunggu kehabisan stok sepenuhnya sebelum membuat pesanan, dan situasi ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah KPDN 2025 Zon Selatan di Pusat Konvensyen Puteri Harbour di sini hari ini.

Onn Hafiz memaklumkan kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan beberapa pengurusan pasar raya utama agar membuat pesanan lebih awal untuk memastikan kelancaran bekalan.

Jelas beliau, semua pasar raya terbabit telah bersetuju mengambil langkah proaktif tersebut demi menjamin ketersediaan bekalan minyak masak peket secara konsisten.

“Saya ingin tegaskan bahawa tidak ada niat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Fokus utama kita adalah untuk bekerjasama erat sebagai satu pasukan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Bangsa Johor.

“Kerajaan negeri turut komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan segala usaha penstabilan bekalan minyak masak peket dapat dilaksanakan secara berkesan di negeri ini,” katanya. - Media Telus.

+ - reset