Berita Berita
2.06 juta graduan bekerja tidak setaraf kelayakan – DOSM

KUALA LUMPUR 30 Jun - Seramai 2.06 juta individu berkelulusan tertiari dilaporkan masih bekerja dalam bidang yang tidak setaraf dengan kelayakan akademik mereka, menurut Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Situasi itu menggambarkan masalah ketidakpadanan kemahiran yang semakin ketara dalam kalangan graduan, meskipun mereka memiliki pendidikan selepas peringkat menengah.
Laporan itu mendedahkan bahawa guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran – merujuk kepada individu yang memiliki pendidikan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau rendah mahir – telah meningkat kepada 2.06 juta orang pada 2024, berbanding 2.04 juta orang pada 2023.
Walaupun peratusan individu dalam kategori itu mencatat sedikit penurunan daripada 36.3 peratus kepada 36.1 peratus, peningkatan dari segi jumlah mutlak menunjukkan isu ini masih berlarutan dan membimbangkan.
Pengangguran turun 3.5 peratus
Dalam perkembangan lain, laporan yang sama turut menyatakan bahawa bilangan penganggur di Malaysia menurun sebanyak 3.5 peratus kepada 534,100 orang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 76.5 peratus atau 408,800 orang merupakan penganggur aktif – iaitu mereka yang sedang mencari pekerjaan dan bersedia untuk bekerja. Jumlah ini menurun sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan tempoh pengangguran, 62.8 peratus penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.3 peratus diklasifikasi sebagai penganggur jangka panjang (melebihi setahun).
Sementara itu, bilangan penganggur tidak aktif, iaitu mereka yang tidak mencari pekerjaan kerana percaya tiada kerja sesuai ditawarkan, juga mencatat penurunan sebanyak 4.4 peratus kepada 125,300 orang, berbanding 131,100 orang pada 2023.
Isu ketidakpadanan kemahiran dan pengangguran terus menjadi cabaran utama dalam pembangunan tenaga kerja negara, meskipun kadar pemulihan pasaran buruh menunjukkan kemajuan. — Media Telus
Berita berkaitan
June 30, 2025, 9:53 pm
Bukan sebab kerja pembinaan, tanah lembut punca letupan gas di Putra Heights
June 30, 2025, 6:33 pm
Jangan ada campur tangan luar dalam pemilihan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 6:19 pm
Tindakan beku aset Tun Daim ibarat penderaan - Tun M
June 30, 2025, 6:14 pm
Objek disyaki bom cetus kesesakan 15 kilometer di PLUS arah selatan
June 30, 2025, 5:56 pm
Majlis Peguam gesa kerajaan umum segera pelantikan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 5:50 pm
Mohd Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS mulai 1 Julai
June 30, 2025, 5:13 pm
Puad Zarkashi nasihat Rafizi: "Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara"
June 30, 2025, 5:08 pm