TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SST bermula esok, KPDN lancar Ops 4.0 pantau kenaikan harga barang, perkhidmatan

By
|
Kongsi
image

 

KOTA KINABALU 30 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 4.0 bermula esok susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi ini bertujuan memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dengan menjadikan SST sebagai alasan.

“Ops Kesan 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak menaikkan harga secara tidak wajar serta bertentangan dengan perundangan di bawah AKHAP,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

Armizan berkata, KPDN akan menggunakan tiga pendekatan utama dalam pelaksanaan Ops Kesan 4.0:

Pengumpulan Data Harga dan Caj Perkhidmatan – Termasuk penggunaan data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN sebagai asas perbandingan sebelum dan selepas SST.

Kerjasama Agensi dan Penyertaan Awam – Melalui kempen Kita Gempur, usaha membanteras manipulasi harga dan ketirisan akan dipertingkatkan bersama agensi kerajaan lain.

SOP Pengurusan Aduan – Penetapan prosedur standard untuk menguruskan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan.

“Peniaga individu yang disabitkan kesalahan mencatut boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” jelas Armizan.

Dalam pada itu, Armizan turut memberi jaminan bahawa peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman boleh terus menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi had 42 kilogram seperti ditetapkan dalam Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) Pindaan 2021.

Katanya, pindaan terhadap peraturan berkenaan akan dibuat bagi membolehkan golongan itu terus menawarkan harga makanan dan minuman yang berpatutan kepada pengguna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menghubungi KPDN melalui:

Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-88826245 / 6088

WhatsApp: 012-6654292

Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my

Call Centre: 1-800-886-800

Aplikasi: Ez ADU KPDN

+ - reset