TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Guru didakwa miliki bahan lucah budak dalam telefon bimbit, komputer riba

By
|
Kongsi
image

TEMERLOH 30 Jun – Seorang guru sekolah berusia 47 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, melibatkan telefon bimbit dan komputer riba miliknya.

Tertuduh, Rosli Sulaiman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Rosli didakwa memiliki bahan lucah berkenaan dalam telefon bimbitnya, dengan kesalahan dilakukan kira-kira jam 6 petang, 18 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh.

Sementara itu, dua lagi pertuduhan menyusul berkait pemilikan bahan lucah sama dalam telefon bimbit dan komputer riba milik tertuduh, yang didakwa berlaku kira-kira jam 4.45 petang, 19 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang, Temerloh.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, Hakim turut menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran tempat tinggalnya.

+ - reset