TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua individu sengaja dakwa disamun, rupanya curi duit syarikat

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 1 Julai – Dua individu termasuk seorang wanita dilaporkan membuat laporan palsu berhubung kejadian samun, namun siasatan mendapati ia hanyalah rekaan semata-mata.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata wanita berusia 23 tahun itu tampil membuat laporan kononnya disamun ketika berada di Gelang Patah, semalam.

“Pengadu mendakwa wang majikan berjumlah RM21,000 telah disamun, namun hasil siasatan mendapati wang itu sebenarnya telah digunakan untuk perbelanjaan peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, polis turut menerima satu lagi laporan palsu awal pagi tadi, kali ini melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mendakwa disamun di tepi jalan di kawasan Kangkar Pulai.

“Pengadu mendakwa beg miliknya yang mengandungi dokumen peribadi telah dilarikan. Namun siasatan mendapati dia sengaja mereka cerita itu kerana ingin mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika ingin menggantikan kad pengenalan yang sebenarnya tercicir,” katanya.

Sehubungan itu, Kumarasan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kemudahan laporan polis.

“Tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau. - Media Telus

+ - reset