TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Suspek bunuh pelajar swasta di Cyberjaya berniat tak baik

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 1 Julai – Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang pelajar universiti swasta di sebuah kondominium di Cyberjaya dalam tempoh 48 jam selepas menahan empat individu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek utama merupakan seorang lelaki yang telah direman, manakala tiga lagi adalah wanita termasuk teman wanitanya.

“Salah seorang daripada suspek wanita ialah teman wanita kepada suspek utama yang juga merupakan rakan serumah mangsa. Dua lagi suspek wanita pula tinggal di tingkat atas kondominium berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai niat jahat terhadap mangsa yang tinggal bersendirian ketika kejadian berlaku kerana rakan serumahnya pulang ke kampung sempena cuti semester.

“Suspek mengambil kesempatan apabila mangsa tinggal seorang diri. Suspek dipercayai sudah berniat tidak baik dan menggunakan peluang itu dengan memasuki apartmen menggunakan kad akses yang diberikan oleh teman wanitanya.

“Ketika kejadian, suspek telah memukul mangsa menggunakan objek sehingga menyebabkan kecederaan parah yang menjadi punca kematian,” katanya.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati suspek pernah beberapa kali menginap di kondominium tersebut bersama teman wanitanya.

“Teman wanita suspek menyerahkan kad akses dan kunci kerana sebelum ini lelaki tersebut pernah bermalam di situ,” katanya lagi.

Menurut Hussein, tempoh reman ke atas semua suspek yang tamat pada 3 dan 4 Julai akan disambung bagi melengkapkan siasatan.

Untuk rekod, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.28 pagi, 24 Jun lalu. – Media Telus

+ - reset