Berita Berita
Tindakan beku aset Tun Daim ibarat penderaan - Tun M

KUALA SELANGOR 30 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset luar negara milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, keluarga serta proksi beliau sebagai satu bentuk penderaan.
Menurut Mahathir, jika benar bekas Menteri Kewangan itu melakukan sebarang kesalahan, maka ia wajar dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu dan bukan dihukum tanpa proses undang-undang yang jelas.
“Apa kesalahan Tun Daim? Dia curi ke? Ada bukti kalau dia mencuri? Kalau ada, dakwalah di mahkamah. Tapi sekarang tak ada pendakwaan pun.
“Tiba-tiba harta dibekukan, rumah dan semua milik dia disita, ini macam satu bentuk penderaan. Sekarang bukan saja dia (Allahyarham Daim), tetapi isterinya pun turut terkesan. Kalau benar ada kesalahan, buktikanlah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan MAHA Klinik di Puncak Alam, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa SPRM bakal membekukan pelbagai aset bernilai tinggi yang dimiliki arwah Daim, keluarganya dan beberapa proksi.
Difahamkan aset tersebut terletak di lima negara selain United Kingdom (UK), antaranya Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Itali dan Jersey — sebuah wilayah di Selat Inggeris yang terletak berhampiran Normandy, Perancis.
Nilai keseluruhan aset yang dikatakan tidak diisytiharkan itu dianggarkan mencecah RM4.5 bilion, dan menurut sumber, ia mempunyai kepentingan komersial yang besar serta sedang diteliti secara serius oleh SPRM.
Tindakan drastik ini dipercayai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap pemilikan aset luar negara oleh tokoh politik dan keluarga mereka yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa serta kegagalan mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang sedia ada. - Media Telus
Berita berkaitan
June 30, 2025, 9:53 pm
Bukan sebab kerja pembinaan, tanah lembut punca letupan gas di Putra Heights
June 30, 2025, 6:33 pm
Jangan ada campur tangan luar dalam pemilihan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 6:14 pm
Objek disyaki bom cetus kesesakan 15 kilometer di PLUS arah selatan
June 30, 2025, 5:56 pm
Majlis Peguam gesa kerajaan umum segera pelantikan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 5:50 pm
Mohd Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS mulai 1 Julai
June 30, 2025, 5:13 pm
Puad Zarkashi nasihat Rafizi: "Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara"
June 30, 2025, 5:08 pm