Berita Berita
Bukan sebab kerja pembinaan, tanah lembut punca letupan gas di Putra Heights

SHAH ALAM 30 Jun – Letupan paip gas bawah tanah milik PETRONAS di Putra Heights pada 1 April lalu dikenal pasti berpunca daripada faktor keadaan tanah yang lemah dan lembap, bukan disebabkan sebarang aktiviti di permukaan.
Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat, hasil siasatan teknikal mendapati paip berkenaan dipasang mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Namun, bahagian bawah paip tersebut tidak disokong sepenuhnya oleh struktur tanah, menyebabkan ia mengalami kegagalan fizikal di lokasi terbabit.
Katanya, keadaan tanah yang lembut menyebabkan pergerakan berulang (cyclic loading) pada paip, sekali gus mencetuskan tekanan berulang serta pembentukan garis keletihan pada permukaan paip.
Melalui analisis metalografi, JKKP mendapati punca utama kegagalan adalah akibat lebihan tegangan atau ‘tensile overload’ yang berkembang secara perlahan sebelum mencetuskan kerosakan jenis ‘ductile’ sehingga mengakibatkan kebocoran dan kebakaran.
Jelasnya, siasatan turut menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada aktiviti pembinaan, penggantian paip pembetung, atau pembakaran bahan lain di permukaan tanah.
Beliau menegaskan lokasi kegagalan paip itu tidak melibatkan sebarang faktor luaran seperti sabotaj atau kecuaian, sebaliknya disebabkan tanah di bawahnya yang tidak stabil dan tidak menyokong berat serta tekanan paip.
Insiden kebocoran dan kebakaran itu memberi kesan besar terhadap keselamatan awam, selain merosakkan infrastruktur dan mengganggu bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan sekitar Putra Heights.
Sehubungan itu, siasatan menyeluruh telah dijalankan hampir tiga bulan oleh JKKP bersama beberapa agensi lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Husdin berkata siasatan dilakukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di tapak kejadian, pengukuran serta semakan ke atas komponen paip gas, selain analisis makmal terhadap sampel yang diambil.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil siasatan ini penting bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan di masa depan, termasuk aspek kejuruteraan geoteknikal yang lebih teliti dalam pemasangan paip gas bawah tanah.
Berita berkaitan
June 30, 2025, 6:33 pm
Jangan ada campur tangan luar dalam pemilihan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 6:19 pm
Tindakan beku aset Tun Daim ibarat penderaan - Tun M
June 30, 2025, 6:14 pm
Objek disyaki bom cetus kesesakan 15 kilometer di PLUS arah selatan
June 30, 2025, 5:56 pm
Majlis Peguam gesa kerajaan umum segera pelantikan Ketua Hakim Negara
June 30, 2025, 5:50 pm
Mohd Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS mulai 1 Julai
June 30, 2025, 5:13 pm
Puad Zarkashi nasihat Rafizi: "Jangan bakar lebih-lebih, takut berakhir di penjara"
June 30, 2025, 5:08 pm