Berita Berita
Pemegang tauliah MAIS diingat tidak salah guna untuk politik atau cetus kebencian

SHAH ALAM 2 Julai – Pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diingatkan agar tidak menyalahgunakan tauliah tersebut ketika menyampaikan pengajaran agama di masjid dan surau di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata kerajaan negeri masih menerima aduan berhubung penyalahgunaan tauliah, termasuk melibatkan individu yang masih memegang jawatan dalam parti politik, tidak berakhlak mulia serta menyampaikan ceramah yang mencetuskan kebencian terhadap kerajaan.
“Antara aduan yang diterima termasuklah menyampaikan ucapan yang mendatangkan perasaan benci, penghinaan atau tidak suka kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri, selain membangkitkan isu yang boleh mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, para pendakwah yang ingin mengajar agama di masjid, surau atau mana-mana tempat lain di Selangor mesti komited untuk menjunjung akhlak mulia dan menjauhkan diri daripada pengaruh politik kepartian.
“Mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen ini disarankan agar tidak memohon tauliah di negeri ini,” tegasnya.
Mohammad Fahmi menjelaskan, tauliah yang dikeluarkan MAIS adalah satu amanah dan bukannya kelebihan yang boleh digunakan sesuka hati.
Berdasarkan Peraturan 14(1) di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024, pemegang tauliah mestilah beragama Islam, berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermastautin di Selangor. Mereka juga tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti politik atau menjadi anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Negeri.
“Peraturan ini penting bagi memastikan masjid tidak dijadikan medan propaganda politik dan perpecahan, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor 2023,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak untuk menggantung atau menarik balik tauliah jika menerima aduan berasas yang dibuktikan kebenarannya.
Orang ramai diseru untuk menyalurkan aduan melalui talian hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di 1800-88-2424 jika mendapati mana-mana pendakwah telah melanggar syarat tauliah. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 8:02 am
Dua maut, 16 cedera nahas bas persiaran dan dua lori di Ayer Hitam
July 2, 2025, 9:12 pm
HTA cipta sejarah, berjaya pisahkan bayi kembar siam bersambung abdomen, pelvis
July 2, 2025, 8:01 pm
183 pelajar dikenal pasti jadi samseng jalanan, terbabit lumba haram di KL
July 2, 2025, 7:14 pm
KPKT sedia disiasat SPRM, tolak unsur rasuah dalam isu MyKiosk
July 2, 2025, 6:15 pm
Majlis Peguam bimbang kelewatan lantikan Ketua Hakim Negara baharu
July 2, 2025, 6:08 pm
Hannah gesa DBKL jelaskan garis panduan pengecas EV di TTDI, Sri Hartamas
July 2, 2025, 5:14 pm
Isu pelantikan Ketua Hakim Negara tidak dibincang secara mendalam – Fahmi
July 2, 2025, 2:41 pm