TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

183 pelajar dikenal pasti jadi samseng jalanan, terbabit lumba haram di KL

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Masalah disiplin membabitkan remaja di ibu negara terus membimbangkan apabila polis mendedahkan seramai 183 pelajar dikenal pasti terbabit dalam kegiatan samseng jalanan dan lumba haram sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 135 adalah pelajar sekolah menengah manakala 48 lagi merupakan pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Statistik pelajar yang dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah pula menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu.

"Pada 2023, seramai 84 pelajar direkodkan terbabit dengan kes dadah, namun sehingga pertengahan tahun ini, hanya 26 pelajar yang dikenal pasti terlibat.

"Antara jenis dadah yang dikesan termasuk amphetamine, methamphetamine, ganja, syabu dan Eramin 5," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKKL) di sini, hari ini.

Seminar berkenaan disertai lebih 300 pelajar sekolah menengah dari seluruh Kuala Lumpur dan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kuala Lumpur serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata statistik tangkapan pelajar dalam kes sosial dan tidak bermoral juga menunjukkan penurunan sejak tahun lalu.

"Pada 2023, ia mencatatkan 17 tangkapan manakala 2024 sebanyak 16 tangkapan dan setakat ini bagi 2025, hanya empat.

"Walaupun angka ini menunjukkan trend menurun, ia masih memerlukan pemantauan dan intervensi berterusan," katanya.

Tambah beliau, usaha membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar tidak boleh diletakkan semata-mata kepada sekolah atau pihak berkuasa sahaja.

"Paling utama, pendidikan bermula dari rumah. Tanpa peranan ibu bapa dan penjaga, segala inisiatif pencegahan tidak akan berjaya sepenuhnya.

"Program seperti seminar ini penting kerana ia bukan sekadar ceramah tetapi platform untuk membentuk sahsiah dan jati diri pelajar sejak awal," katanya lagi.

Menurut beliau, Polis KL turut menugaskan dua pegawai perhubungan sekolah bagi setiap satu daripada 209 sekolah di sekitar ibu negara.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail menekankan pentingnya kerjasama erat antara sekolah dan PDRM.

"Dari awal kita sudah bekerjasama dengan pihak PDRM. Sekolah-sekolah pun ada pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang ditugaskan untuk pantau dan bantu menangani masalah pelajar.

"Sebarang kes disiplin yang dikesan akan terus disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kita mahu isu ini ditangani lebih awal sebelum jadi lebih serius," katanya.

+ - reset