TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hannah gesa DBKL jelaskan garis panduan pengecas EV di TTDI, Sri Hartamas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Julai – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penjelasan sama ada pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Desa Sri Hartamas mematuhi piawaian sedia ada.

Menurutnya, meskipun menyokong usaha DBKL mempromosikan pengangkutan bersih dan lestari, beliau menyuarakan kebimbangan jika pemasangan itu menjejaskan aspek keselamatan awam, perancangan bandar serta akses laluan pejalan kaki.

“Berdasarkan pemerhatian orang awam, pemasangan ini kelihatan menceroboh laluan pejalan kaki dan mengambil ruang berharga di kawasan seperti TTDI dan Sri Hartamas yang sudah berdepan isu kesesakan serta kekurangan parkir.

“Dalam kita bergerak ke arah pengangkutan lebih bersih dan hijau, infrastruktur perlu dibangunkan secara teliti. Hak, keselamatan dan keperluan harian penduduk tidak seharusnya dikompromi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kebimbangan Persatuan Penduduk TTDI mengenai penempatan pengecas EV yang didakwa mengambil ruang parkir awam terhad di kawasan kejiranan itu, khususnya di Lorong Rahim Kajai 13 dan Jalan Tun Mohd Fuad.

Jurucakap persatuan, Khairudin Rahim berkata, kawasan itu sudah dibebani isu kekurangan tempat letak kenderaan dan tidak mampu kehilangan lebih banyak ruang kepada pemasangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) ditubuhkan bagi tujuan perundingan dan sebagai penghubung antara komuniti dengan DBKL.

“MPP sentiasa bersedia menyokong DBKL melalui dialog dan libat urus. Saya menggesa DBKL menggunakan sepenuhnya platform ini supaya dasar dan projek selari dengan keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya. – Media Telus

+ - reset