TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPKT sedia disiasat SPRM, tolak unsur rasuah dalam isu MyKiosk

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan tidak akan berkompromi sekiranya wujud sebarang unsur rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam kenyataan hari ini, KPKT menegaskan pihaknya menyambut baik siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah memastikan setiap inisiatif kerajaan dijalankan secara telus dan berintegriti.

“Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk dilaksanakan oleh 133 PBT menerusi proses sebut harga terbuka. Kos siling MyKiosk 2.0 yang ditetapkan Jabatan Kerajaan Tempatan ialah RM25,000 setiap unit,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 795 kontraktor dilantik bagi menjayakan pembelian dan penempatan MyKiosk di seluruh negara.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan sedang menyiasat dakwaan berkait tender pembinaan MyKiosk selepas menerima aduan daripada sebuah parti politik.

Mengulas lanjut, KPKT memaklumkan pihaknya secara sukarela menyerahkan semua dokumen berkaitan inisiatif itu kepada SPRM pada 22 Mei lalu.

“Tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan,” katanya.

Sebagai usaha tambahan, kementerian turut memperkukuh budaya integriti dalaman menerusi pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat dan penubuhan Unit Integriti (UI) di semua PBT bagi menilai prestasi serta membanteras rasuah di peringkat tempatan.

MyKiosk diwujudkan sebagai platform membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

Pelaksanaan penuh MyKiosk 1.0 selesai pada penghujung 2024, dengan setiap unit bernilai sekitar RM15,000 dan dikendalikan PBT dengan kadar sewaan maksimum RM300 sebulan, selain pengecualian sewa selama enam bulan pertama.

Sebagai kesinambungan, MyKiosk 2.0 dilancarkan dengan 4,054 unit tambahan bernilai RM100 juta. Kos setiap unit meningkat kepada RM25,000 berikutan penambahbaikan spesifikasi seperti sistem solar 1,000W, panel LED, kipas, jendela hidraulik dan struktur lebih kukuh.

+ - reset