TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu pelantikan Ketua Hakim Negara tidak dibincang secara mendalam – Fahmi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 2 Julai – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan secara mendalam isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hanya menyentuh perkara yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Isu pelantikan Ketua Hakim Negara tidak dibincangkan secara mendalam hari ini, hanya dimaklumkan perkara yang disebut Perdana Menteri sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

PM Tegas Tidak Campur Tangan

Terdahulu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri urusan institusi kehakiman, termasuk dalam pelantikan atau penyambungan perkhidmatan hakim.

Menurutnya, semua pelantikan perlu mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang desakan daripada mana-mana pihak untuk melanjutkan perkhidmatan hakim boleh mencemarkan integriti badan kehakiman negara.

Tengku Maimun Akhiri Khidmat Dengan Bangga

Tun Tengku Maimun menamatkan perkhidmatan secara rasmi hari ini selepas enam tahun berkhidmat sebagai wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.

Dalam kenyataannya kepada media, beliau berkata tidak pernah berasa kesal atau berkecil hati meskipun tidak ditawarkan lanjutan perkhidmatan.

“Sebaliknya saya bangga kerana dapat menyempurnakan tugas dan amanah yang diberikan sebagai Ketua Hakim Negara,” kata anak jati Kota Bharu, Kelantan itu. - Media Telus

+ - reset