TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua maut, 16 cedera nahas bas persiaran dan dua lori di Ayer Hitam

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT 3 Julai – Dua lelaki maut manakala 16 yang lain cedera apabila sebuah bas persiaran membawa 46 penumpang terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 80.7 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Ayer Hitam, awal pagi Khamis.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.44 tengah malam itu melibatkan sebuah lori tunda jenis Volvo dan sebuah lori tangki, selain bas berkenaan yang membawa 44 penumpang lelaki dan dua wanita.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Md Isa Masngun berkata, pihaknya bersama anggota BBP Yong Peng bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati dua penumpang lelaki bas berusia 43 dan 44 tahun tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Seramai 14 penumpang lelaki, seorang penumpang wanita serta pemandu bas mengalami kecederaan, manakala 27 penumpang lelaki dan seorang wanita tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Md Isa, kedua-dua pemandu lori yang terlibat – iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun (lori tunda) dan seorang lagi berusia 33 tahun (lori tangki) – dilaporkan selamat.

Beliau berkata, pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera EMRS.

Operasi menyelamat dikawal sepenuhnya pada jam 3.02 pagi.

+ - reset