Berita Berita
'Saya juga ada prinsip, identiti sendiri' - Nurulhidayah kecewa sering dilabel 'Anak Zahid'

KUALA LUMPUR 2 Julai – Nurulhidayah Ahmad Zahid menyuarakan rasa terkilan terhadap sikap sesetengah media yang terus menggunakan label “Anak Zahid” dalam tajuk atau laporan berita berkaitan dirinya, tanpa menyebut nama penuhnya.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, walaupun beliau tidak menafikan siapa ayahnya dan berbangga dengan hubungan tersebut, beliau juga adalah individu yang berdikari serta mempunyai prinsip dan pandangan sendiri.
“Saya ingin memberikan pandangan yang mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi besar maknanya bagi saya secara peribadi. Media sering memilih untuk menggunakan frasa ‘Anak Zahid’ dalam tajuk atau laporan berita yang melibatkan saya, dan bukannya menyebut nama penuh saya sendiri, Nurulhidayah Ahmad Zahid,” katanya.
Jelasnya, penggunaan label tersebut bukan sahaja mengabaikan identiti peribadi seseorang, malah menafikan usaha dan peranan yang dimainkan oleh individu itu dalam masyarakat.
“Saya sedar siapa Abah saya, dan saya bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid bin Hamid. Namun pada masa yang sama, saya juga seorang individu yang berdikari, punya pendapat sendiri, prinsip sendiri, dan identiti sendiri.
“Setiap insan wajar dikenali dan dihormati atas nama dan usaha mereka sendiri. Saya tidak menolak kenyataan bahawa nama Abah saya sering dikaitkan, tetapi apabila media terus-menerus menggugurkan nama saya sendiri dan menggantikannya hanya dengan label ‘anak Zahid’, ia secara tidak langsung menghilangkan pengiktirafan terhadap peranan, kerjaya, dan pandangan saya sebagai individu,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa media seharusnya memainkan peranan untuk melaporkan secara adil, tepat dan menghormati identiti setiap individu tanpa mengira latar belakang keluarga.
“Saya percaya media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan menghormati identiti setiap orang, tidak kira siapapun ahli keluarganya.
“Saya tidak pernah minta dipandang tinggi dan dihormati tetapi gunalah nama saya (untuk penulisan) – Nurulhidayah Ahmad Zahid – dengan penuh etika, seperti mana media menyebut nama individu lain yang menyuarakan pandangan atau terlibat dalam kerja masyarakat, politik atau sosial,” katanya.
Menurutnya lagi, penulisan yang menyebut nama penuh seseorang adalah satu bentuk profesionalisme yang menyumbang kepada budaya pemberitaan yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
“Saya yakin dengan menggunakan nama individu dalam penulisan yang beretika, kita sedang memupuk budaya integriti, profesionalisme dan ketepatan dalam pemberitaan.
“Saya tidak pernah menafikan siapa ayah saya. Tetapi saya juga tidak akan membiarkan nama saya sendiri dipadamkan,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 2:18 pm
Ejen tarik kereta ditahan halang laluan lebuh raya berhampiran R&R Pedas-Linggi
July 3, 2025, 12:22 pm
Pusat 'car wash' di JB hampir lumpuh, 147 PATI ditahan
July 3, 2025, 11:53 am
Ellron nafi terlibat skandal rasuah perlombongan, sifatkan dakwaan bermotif politik
July 3, 2025, 11:41 am
150 ditahan dalam serbuan pusat cuci kenderaan sekitar Johor Bahru
July 3, 2025, 11:37 am