TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suri rumah didakwa hina Agong di Facebook, mengaku tidak bersalah

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 7 Julai - Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memuat naik komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada awal Januari lalu.

Tertuduh, Suhaila Abd Halim, 39, yang hadir tanpa diwakili peguam, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Berdasarkan pertuduhan, Suhaila secara sedar telah memulakan penghantaran komen yang bersifat jelik dengan niat untuk menyakiti hati orang lain. Hantaran tersebut dimuat naik pada 4 Januari dan dilihat pada keesokan harinya kira-kira jam 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.

Ibu kepada enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Suhaila dalam rayuannya memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM500 atas alasan suaminya merupakan satu-satunya penanggung keluarga.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin warga tempatan. Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 September depan bagi tujuan serahan dokumen dan pelantikan peguam.

+ - reset