TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beban guru makin teruk, NUTP desak KPM tubuh jawatankuasa khas

By
|
Kongsi
image

 

BALIK PULAU, 7 Julai – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menubuhkan sebuah jawatankuasa khas secara rasmi bagi menangani isu beban tugas guru yang semakin meruncing di seluruh negara.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, meskipun isu tersebut telah berlarutan sekian lama, penyelesaian menyeluruh yang diharapkan masih belum dapat dirasai oleh lebih 400,000 guru dalam sistem pendidikan negara, terutamanya di peringkat akar umbi.

“Kita mahukan penyelesaian terhadap isu beban tugas guru ini dapat dibuat walaupun isu ini sudah lama menjadi perbincangan, tetapi masih belum ada keputusan dalam aspek penyelesaiannya.

“Jadi kita mahukan supaya ada satu jawatankuasa khas dibentuk secara rasmi oleh KPM bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara komprehensif.

"Ini kerana guru tidak patut terbeban dengan tugas yang bukan bersifat profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Kajian Pertengahan Penggal NUTP Bagi Sesi 2023-2026 yang diadakan di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari yang berlangsung di Teluk Bahang, Pulau Pinang itu turut membincangkan sembilan lagi isu utama yang akan dikemukakan kepada pihak kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

+ - reset