Berita Berita
1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor dikesan berisiko tinggi alami kemurungan

SHAH ALAM 7 Julai – Seramai 1,020 pelajar atau 2.8 peratus daripada 36,428 pelajar sekolah menengah di Selangor dikesan menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan berisiko tinggi bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Exco Kesihatan Awam Negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, angka itu diperoleh menerusi Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid menggunakan instrumen Patient Health Questionnaire (PHQ) yang dijalankan ke atas ribuan pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.
“Seramai 1,020 pelajar dikesan mempunyai tanda-tanda awal kemurungan kategori berisiko tinggi, mewakili sebanyak 2.8 peratus daripada keseluruhan jumlah yang disaring,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Azmizan Zaman Huri (PH–Pelabuhan Klang) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DUN), hari ini.
Bagaimanapun, katanya, tingkah laku psikososial negatif dalam kalangan murid masih berada dalam keadaan terkawal setakat ini.
Menurut beliau, guru bimbingan dan kaunseling telah melaksanakan pelbagai intervensi berfokus kepada murid yang dikenal pasti berada dalam kategori krisis, termasuk program yang turut diperluas ke sekolah rendah bagi murid Tahun Lima dan Enam.
“Fokus utama adalah membina daya tahan diri serta memupuk kesedaran awal tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan murid,” jelasnya.
Tambah Jamaliah, antara bentuk intervensi umum yang dilaksanakan termasuk sesi bimbingan, teknik relaksasi, latihan pernafasan, senaman serta urutan bahu dan leher.
Sementara itu, intervensi khusus pula melibatkan sesi kaunseling, pengurusan emosi, gaya daya tindak, teknik pernafasan berkesedaran (mindfulness), pengawalan marah, kemahiran penyelesaian masalah dan komunikasi berkesan.
“Langkah-langkah ini dilaksanakan sebagai usaha pencegahan awal dan memperkukuhkan kesejahteraan mental murid sejak di peringkat sekolah rendah,” katanya. – Media Telus.
Berita berkaitan
July 7, 2025, 5:33 pm
Beban guru makin teruk, NUTP desak KPM tubuh jawatankuasa khas
July 7, 2025, 2:48 pm
KSN mahu laporan segera isu sijil cuti sakit palsu dibentangkan
July 7, 2025, 2:26 pm
Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di Sungai Tomanggong
July 7, 2025, 2:15 pm
Remaja OKU hilang sembilan hari di Pasir Puteh masih belum ditemukan
July 7, 2025, 2:10 pm
Lawatan PM bukan ‘jalan-jalan’, bawa agenda besar negara – Ahmad Farhan
July 7, 2025, 2:04 pm
Selangor teliti cadangan sita aset suami liat bayar nafkah
July 7, 2025, 2:02 pm
Enam sekeluarga dipercayai cuba selamatkan diri, namun gagal - Bomba
July 7, 2025, 1:39 pm