TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selangor teliti cadangan sita aset suami liat bayar nafkah

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 7 Julai  – Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka pelaksanaan mekanisme sitaan aset terhadap suami yang gagal mematuhi perintah nafkah, sebagai langkah tegas memastikan hak wanita dan anak-anak selepas penceraian terus terjamin.

Exco Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, inisiatif itu digerakkan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dengan kerjasama strategik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan.

“Penelitian dan cadangan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 juga dilakukan menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama-sama Jakess, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ahli akademik dan pakar perundangan syariah daripada institusi pengajian tinggi.

“Pendekatan ini juga bagi menjamin bahawa undang-undang digubal adalah adil dan menepati keperluan semasa masyarakat Islam di Selangor,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Mariam Abdul Rashid (PH – Meru) berhubung pelanggaran perintah nafkah.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia memaklumkan bahawa sebanyak 1,189 aduan pelanggaran perintah nafkah telah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor dari tahun 2022 hingga 31 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,099 kes telah didaftarkan di Jakess, dan 777 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Justeru, pemilihan mekanisme yang tepat dan efisien oleh pihak yang menuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah.

“Kegagalan memilih saluran atau mekanisme yang sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah,” katanya. 

+ - reset