TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadang sijil cuti sakit digital elak pemalsuan dalam kalangan penjawat awam - CUEPACS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar sistem sijil cuti sakit (MC) beralih kepada bentuk digital sepenuhnya sebagai langkah membanteras penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen itu yang kian membimbangkan.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, langkah itu perlu dilaksanakan segera dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa bagi memperkukuh pemantauan ke atas penggunaan sijil cuti sakit terutamanya dalam kalangan penjawat awam.

"Antaranya adalah memperluas penggunaan sijil cuti sakit digital yang mempunyai sistem pengesahan QR. Sistem ini perlu memperoleh pengesahan terus daripada sistem hospital dan klinik kerajaan bagi mengelakkan pemalsuan.

"Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilakukan dalam memperkukuh pemantauan terhadap dokumen perubatan," katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga lelaki termasuk seorang pesakit jantung ditahan kerana disyaki terlibat dalam penghasilan dan penjualan sijil cuti sakit palsu di Sungai Petani, Kedah. Tangkapan dibuat selepas siasatan dalaman terhadap seorang anggota polis mendapati dokumen cuti sakit yang dikemukakan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di Taman Songket Indah dan hasilnya, seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan bersama lebih 20 keping sijil cuti sakit palsu serta pelbagai peralatan mencetak dan cop nama doktor.

Mengulas lanjut, Adnan berkata hukuman yang lebih berat wajar dikenakan bagi memberi pengajaran.

"Kempen kesedaran dan pendidikan etika juga perlu dilakukan iaitu melalui pelaksanaan bengkel atau sesi taklimat kepada penjawat awam untuk mengetahui kesan undang-undang dan tatatertib jika terbabit dengan penggunaan sijil cuti sakit palsu," katanya.

Tambah beliau, CUEPACS menyokong penuh tindakan pantas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan sindiket sijil cuti sakit palsu ini kerana ia satu bentuk penipuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam dan boleh menyebabkan ketidakadilan kepada rakan-rakan penjawat awam lain yang mematuhi prosedur perkhidmatan dengan jujur.

"Kes seumpama ini bukan sahaja menjejaskan integriti profesion kesihatan dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya, malah memberikan kesan negatif kepada imej penjawat awam yang komited dan beretika dalam menjalankan tugas.

"Justeru CUEPACS menggesa semua penjawat awam supaya memelihara integriti dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi perkhidmatan awam dan kita semua perlu bertanggungjawab memastikan sistem yang dibina berlandaskan kepercayaan ini tidak disalah guna," katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pemalsuan sijil cuti sakit adalah satu perbuatan tidak beretika dan CUEPACS komited bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam kekal telus, berintegriti dan bebas daripada salah laku.

+ - reset