TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Melinda B didenda kerana berpakaian seperti wanita di tempat awam

By
|
Kongsi
image

MELAKA 7 Julai – Seorang pempengaruh TikTok lelaki dikenali sebagai Melinda B didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di tempat awam.

Hakim Amirrudin Abdul Latip menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Hakim Noraji, 25, membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Menurut fakta kes, Muhammad Hakim melakukan kesalahan itu pada dua lokasi berbeza iaitu sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi, 10 Jun lalu di Bangunan A Famosa dan pada jam 1.30 pagi Isnin di hadapan Bangunan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Jalan Kota, Banda Hilir.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berpakaian dan berlagak seperti perempuan tanpa alasan munasabah, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Ahmad Faizul Ashar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengenakan denda RM850 bagi pertuduhan pertama dan RM950 bagi pertuduhan kedua, atau penjara sebulan jika gagal membayar. Tertuduh membayar denda berkenaan di mahkamah.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan Muhammad Hakim yang sedang melakukan siaran langsung di TikTok dalam keadaan berpakaian seperti wanita.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa selepas menerima aduan awam.

“Ketika ditahan, lelaki terbabit memakai blaus ungu, rambut palsu bersanggul, kasut wanita dan anting-anting,” katanya. – Media Telus.

+ - reset