TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki disyaki kurang siuman ditemui mati di Puchong, positif 3 jenis dadah

By
|
Kongsi
image

SERDANG 7 Julai – Lelaki disyaki kurang siuman yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Taman Bukit Kuchai, Puchong, semalam, disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ujian menunjukkan lelaki terbabit positif tetrahydrocannabinol, amphetamine dan methamphetamine.

Menurutnya, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah untuk proses bedah siasat.

"Bedah siasat baru saja selesai dilakukan namun punca kematian masih belum dapat dikenal pasti kerana menunggu hasil analisis makmal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki tersebut tampil membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Jalan 23, Taman Bukit Kuchai, Puchong.

Menurut Muhamad Farid, pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.05 pagi yang memaklumkan seorang lelaki membuat gangguan di kawasan berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada lelaki terbabit yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan. – Media Telus.

+ - reset