TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tarif Trump 25 peratus: MITI sedia teruskan rundingan dengan AS

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu-isu yang masih belum diselesaikan susulan pengumuman tarif import sebanyak 25 peratus terhadap barangan dari Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Dalam kenyataan hari ini, MITI menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk mencari penyelesaian yang adil dan saling menguntungkan melalui dialog yang membina.

“Usaha rundingan sedang berjalan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.

“Walaupun kami mengakui kebimbangan AS mengenai ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, kami percaya bahawa penglibatan secara terus adalah pendekatan terbaik ke hadapan,” kata MITI.

Kementerian itu turut menekankan bahawa Malaysia menghargai hubungan ekonomi jangka panjang dengan AS, dan menyifatkan perdagangan terbuka serta adil sebagai faktor utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan di kedua-dua negara.

AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama negara. Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion), dengan eksport ke AS berjumlah RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion), manakala import dari AS ialah RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).

MITI turut menyuarakan kebimbangan terhadap langkah unilateral seperti tarif tersebut yang boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan dan aliran pelaburan yang saling memberi manfaat.

“Malaysia percaya bahawa penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak boleh dicapai demi melindungi kepentingan negara masing-masing dan memastikan hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala kekal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan juga memberi jaminan akan terus melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna di Malaysia serta mengambil langkah perlu bagi mengurangkan kesan daripada langkah baharu itu.

“Kami menghargai sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dan akan terus bekerjasama rapat bagi menangani cabaran ini,” ujar MITI.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif import ke atas Malaysia sebagai langkah untuk ‘melindungi industri tempatan AS’ daripada apa yang beliau dakwa sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

Dalam surat yang dikongsi melalui platform Truth Social kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Trump turut menamakan beberapa negara lain yang akan turut dikenakan tarif 25 peratus termasuk Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan.

Negara lain yang berdepan tarif lebih tinggi termasuk Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus), serta Laos dan Myanmar sehingga 40 peratus. - Media Telus

+ - reset