TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat lelaki mengaku salah curi penapis air masjid di Mantin dan Lenggeng

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 8 Julai – Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 8 Julai atas pertuduhan mencuri mesin penapis air jenama Coway di dua masjid berasingan di Mantin dan Lenggeng, masing-masing pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29; Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19; Muhammad Syaiful Muhamad, 29; dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti dan Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka secara bersama mencuri mesin penapis air tersebut di Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin sekitar jam 8.11 malam pada 30 Jun.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing, merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan mengambil kira pengakuan salah dan latar belakang tertuduh yang mempunyai tanggungan.

“Mereka telah menyatakan rasa insaf dan barang kes telah diperoleh semula dengan anggaran kerugian yang rendah. Pengakuan bersalah juga menjimatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepada Mohd Akiq, Muhammad Syaiful dan Muhammad Zulfikri, bermula dari tarikh sabitan.

Sementara itu, Muhammad Danial Darishan, yang merupakan pesalah muda, dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 sementara menunggu laporan sosial sebelum hukuman dijatuhkan pada 5 Ogos.

Di kamar mahkamah berbeza, ketiga-tiga tertuduh – Mohd Akiq, Muhammad Danial dan Muhammad Zulfikri – turut dihukum penjara tiga bulan atas kesalahan sama di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira-kira jam 2.30 petang pada 1 Julai lalu.

Majistret Nurul Saqinah memerintahkan hukuman itu turut bermula dari tarikh sabitan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Muhammad Zul Azrin Zanuddin.

Terdahulu, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas polis menerima tiga laporan kes kecurian mesin penapis air di masjid pada 30 Jun. Lima suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan pada 3 Julai, dan dipercayai menjual barangan curi berkenaan melalui media sosial. - Media Telus

+ - reset