TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AGC: PM bukan sekadar konduit dalam pelantikan kehakiman

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 8 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar 'konduit' yang menerima syor daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan dalam badan kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya, kata Jabatan Peguam Negara (AGC), Anwar memegang tanggungjawab yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan memelihara kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.

Menurut jabatan itu, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti. Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

AGC berkata, kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR yang mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi menyemak proses pelantikan kehakiman, khususnya yang melibatkan jawatan tertinggi dalam institusi tersebut.

Menurut jabatan itu, pelantikan hakim mahkamah atasan diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pelantikan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak secara eksklusif kepada Perdana Menteri,” katanya.

AGC turut menegaskan bahawa tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan Perlembagaan dan bukan berdasarkan tekanan luar.

“Ia hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut menjawab tuduhan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dijalankan tanpa notis yang mencukupi seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 13(2) Akta 695.

Menurutnya, JAC mempunyai kuasa untuk mengawalselia prosedurnya sendiri dan lazimnya jika wujud keadaan mendesak, mesyuarat boleh diteruskan dengan notis pendek asalkan mendapat persetujuan semua ahli.

“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” tegas jabatan itu.

Turut disentuh ialah dakwaan berhubung penglibatan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim yang disifatkan sebagai dakwaan serius.

Namun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.

“Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan kesalahan yang telah dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan spekulatif semata-mata,” kata kenyataan itu lagi.

Jabatan itu turut menolak perbandingan dengan kes VK Lingam pada tahun 2007 kerana menurutnya, kes itu melibatkan bukti kukuh campur tangan dalam pelantikan hakim yang membawa kepada penubuhan suruhanjaya siasatan.

“Keadaan semasa adalah berbeza kerana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.

Tambah AGC, meskipun Parlimen mempunyai kuasa menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti isu tatakelola institusi, urusan pelantikan kehakiman perlu ditangani secara cermat bagi memastikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

“Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

AGC turut berkata pihaknya akan terus menasihati kerajaan dalam urusan pentadbiran keadilan sekiranya terdapat keterangan yang berasas.

“Dalam ketiadaan keterangan sedemikian, semua pihak yang diberi kuasa menurut undang-undang perlu diberi ruang untuk melunaskan tanggungjawab mereka tanpa sebarang tekanan, spekulasi atau kempen awam.

“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru,” katanya.

Menurut AGC, percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.

“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, jabatan itu berharap semua pihak bertanggungjawab menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa serta melaksanakannya dengan memperkukuh kematangan institusi, bukan dengan hanya membuat spekulasi tidak berasas. - Media Telus

+ - reset